July 21st, 2007
Titis hujan melebat di luar jendela. Bumi sudah gersang sejak beberapa ketika. Mungkin ia menandakan hati yang selama ini tandus bakal hidup kembali. Hendaknya dengan izin Dia.
Terima Kasih untuk pertemuan singkat itu. Sekurang-kurangnya ia meredakan kegelisahan yang selama ini bersarang di kalbu. Puas. Kerna aku meminjam sifat Ya Lathiff dalam mencanai ukhwah yang telah tercalar. Aku tenggelam dalam nikmatNya.
Aku rasai kedinginan itu. Hingga ia turut membekukan aku.
July 20th, 2007
……….
“Tapi…”, Dia lagi.
“Rezeki di tangan Tuhan. Kita sudah mengandalkan usaha. Yakinlah. Itu takdir yang tidak boleh disangkalkan. Terima itu dengan redha. Sekurang-kurangnya kita punya dua piala untuk dibawa pulang. Tidakkah kita bersyukur dengan limpah rezekinya?”, Aku. Yakin dengan Allah.
Kami tersenyum. Indahnya nikmat Tuhan.
July 18th, 2007
Kau tahu, aku mengambil masa untuk menyampaikan berita buruk itu kepada Suri. Aku seperti tidak sampai hati. Bimbang dan kerisauan begitu memagut hati. Adakah dia akan mengalirkan air mata? Adakah ia akan itu? Akan ini? Begitu buruknya persepsi diri sehingga aku nekad jua akhirnya.
Nah, begitulah ketentuan Ilahi. Teman hidupku ini memang dilahirkan untuk menemani aku, suaminya yang mudah alah dengan derita. Dia tabah. Tiada langsung riak sedih dan mendung di hatinya. Walaupun berita itu bakal mewarnai hidupnya. Adakah Suri menangis di dalam hati? Tetapi, suri yang aku kenali tidak begitu. Dialah wanita cekal dan tabah mengharungi kesukaran dalam hidup. Aku akui itu. Betapa hebatnya kewajaan hati yang Allah berikan kepadanya. Sehingga aku tak terlihat kekalahan dan putus-asa dalam dirinya.
Terima Kasih Ya Rabb,
Mengurniakan wanita besi sepertinya menjadi teman sisiku.
Tidak. Sekali-kali tidak akan aku persiakan anugerah terindah yang Tuhan berikan kepada aku. Moga-moga Allah pelihara Suriku meskipun kami diduga Tuhan dalam hidup.
Cinta kerana Allah, itulah nikmat yang tak terungkap.
Ya, aku benar-benar berharap. Ya, Rabb!
*Suri, kita harung sama-sama ya kesakitan itu!