HIJRAH

Oktober tahun lepas, aku ke jabatan ini. Tanpa ada bilik sendiri. Berkotak-kotak barang yang dibawa dari jabatan lama tidak sempat untuk diadakan tempatnya. Terletak begitu sahaja selama hampir 10 bulan disawangi sarang labah-labah. Sehinggalah hari ini bekerja dengan ruang yang terhad. Kemudian hari ini juga, surat arahan pertukaran datang lagi. 15 Ogos ini aku berhijrah lagi.

Alhamdulillah. Allahlah segala ketetapan yang menentukan baik buruknya aku dalam kerjaya. Ya, kerjaya (baca:Ibadah) untuk aku terus menghambakan diri kepadaNYA. Meski sebentar cuma di jabatan ini, ia cukup bermakna. Terima Kasih untuk pengalaman. Terima Kasih segalanya; budi, pengalaman dan kemesraan. 

SURAUKU SURAUMU

Aku ke kampus salah sebuah universiti Islam di Malaysia sepetang Ahad. Memberi semangat kepada anak-anak buah yang bertanding dalam genre pantun antara universiti-universiti Malaysia.

Ironinya aku teruja! Ketika hendak solat Maghrib berjemaah di sebuah surau di salah sebuah kolej kediamannya. Akulah antara jemaah yang terkandas menjadi banjiran jemaah yang tidak dapat bersama-sama dalam saf maghrib itu. Surau melimpah dengan jemaah pelajar hingga tidak muat dibuatnya. Jadinya, aku terpaksa bersama sebahagian jemaah bersolat jemaah dengan kumpulan berikutnya.

Alangkah baiknya andai surau di tempat aku ini begitu juga senarionya. Tidaklah selalunya hanya berjemaah dengan bertiga atau berempat. Alangkah indahnya, saat jemaah mengaminkan doa beramai-ramai. Segera terangkat doa itu ke langit tingkat, Ya Rabb.

RUDY DAN SIKAT GIGI

Rudy menghadiri temuduga satu hari di sebuah syarikat konglomerat di ibu kota. Ketika menunggu giliran Rudy rasa perlu ke tandas. Selesai qadha hajat dan ketika membasuh tangan di sinki, Rudy terlihat keadaan sinki tandas tersebut yang agak kotor.

Entah bagaimana, di tepi sinki tersebut ada sebatang sikat gigi. Jadi, Rudy mengambil keputusan untuk membersihkan sinki tersebut. Rudy menggosok kotoran sinki dengan sikat gigi tersebut. Sinki tersebut jadi bersih dan segera Rudy keluar di tempat menunggu semula. Rudy tidak sedar gerak lakunya diperhatikan dari jauh oleh seseorang di dalam tandas itu.

Tibalah giliran Rudy ditemuduga hinggalah ke soalan yang terakhir. Kata salah seorang panel penemuduga tersebut;

“Saya terlihat kamu membersihkan sinki di tandas tadi. Apa kamu ingat dengan membersihkannya, kamu mudah diterima bekerja di sini?”, Tanya sang penemuduga.

Rudy tersenyum sahaja mendengar soalan tersebut. Menjawablah Rudy dengan tenang.

“Tuan, cukuplah perbuatan saya itu tanpa perlu saya harapkan balasannya waima untuk diterima bekerja di kantor ini. Cukuplah kalau yang di bahu kanan ini mencatatkan amalan saya. Kerana saya hidup ini untuk Allah. Moga-moga ibadat itu diterima Dia.”, Jawab Rudy.

Sang penemuduga itu bungkam. Nah! Rudy akhirnya diterima bekerja di syarikat itu!

* Cerita ini adalah sebuah paparan dalam Kursus ESQ 165 yang aku hadiri tempoh hari. Memang kaget bila nama Rudy digunakan sebagai pelaku cerita ini. Aku juga mahu jadi seperti sang Rudy yang itu.

* sikat gigi – berus gigi (Bahasa Indonesia)