FATIHAH

“Aku tinggalkan yang buruk-buruk. Yang bathil. Yang bersifat baharu bukan untuk menyiksa engkau, sahabatku. Aku tinggalkan itu kerana aku mengerti yang dahulu itu salah. Jalan khilaf.  Tergelincir dari landasan kebenaran.”, Y.

Dia diam.

“Ya, hidup tak selamanya menongkat langit. Keseronokan itu madu. Manis dan nikmat. Tapi apa gunanya nikmat itu andai ianya sesat lagi menyesatkan. Apatahlagi Tuhan tidak meredhakan. Aku akur. Ya, untuk berubah memang cukup pahit. Bak hempedu. Bak racun.”, Y lagi.

Dia bungkam lagi.

“Siapapun tidak akan dapat melukakan kesakitan. Keperitan. Tetapi kalau kita akur. Kita manut. Kita ikut kehendak Dia yang menjadikan, kau akan rasai nikmatnya kebahagiaan. Biarpun pada masa yang sama kau dihurung dugaan demi dugaan.”, Y. Hikmah nasihatnya.

Ada takungan air di pelupuk matanya. Merona merah. Lalu dia tersengguk di bahu Y.

“Tidak. Sekali-kali aku tidak akan membuangmu sahabatku. Aku bukan manusia pendendam. Aku ini sekerdil-kerdil manusia. KudratNya hanya kupinjam Dia.”, Y menutup bicara.

Ya Rabb.
Tunjukkan kami jalan yang benar.
Jalan yang Kau berikan kepada mereka.
Jalan yang tidak sesat dan tidak pula menyesatkan.

* manut – (jw) turut, patuh, tunduk, ikut.

DIA V

“Dia terluka dengan sikap kau”, M berkata-kata menebak diri.

“Kalau dia terluka dengan aku, aku lebih terluka dengan sikapnya. Melaga-lagakan aku dengan kau tanpa aku mengerti untuk apa tujuannya”, Aku.

“Habis?”, M tercengang-cengang.

“Aku. Aku dah minta maaf kepada dia. Kerana aku ini manusia. Khilaf sifatnya. Cuma mengharap redha dari Tuhan. Tuhan yang kupinjam sedikit kudratnya.”, Aku lagi.

DIA IV

Sempat menghadiri jemputan kenduri doa selamatnya. Mahrib, Isyak dan Hajat berjemaah. Kemudian bertahlil beramai-ramai. Moga usaha dan doa kita diberkati, begitu ulas kata Ustaz Zu kepala majlis sejurus tahlil selesai.

Aku kenal dia sejak dia kalah pilihanraya. kemudian dia bergraduasi dan diterima bekerja di badan berkanun yang sama. Dia berkahwin selepas itu dan kini saat perpisahan kami pula menjelma. Namanya yang unik itu begitu mudah untuk aku ingati.

Dia pernah cerita, namanya itu kalau diterjemahkan ke bahasa Arab. Maka orang-orang Arab akan berguling-guling ketawa. Maksud yang tidak sesuai untuk digunakan sebagai nama manusia katanya. Aku ketawa juga. Tetapi, tidak sampai melukakan hatinya. Sejak itu kami akrab. Masa begitu cepat dan singkat. Perpisahan mendekat.

Selamat berangkat Dr. Anjas Asmara @ Abdul Hadi ke Bumi Kanggaru. Semoga beroleh kejayaan gemilang dalam pengajian lanjutan dengan izin Tuhan.

“Akiramenaide, gambatte kudasai”, Aku titip untuk bekalan.

* Akiramenaide, gambatte kudasai – Jangan mengalah, selamat berjaya!