March 8th, 2007
Awal pagi sudah kena marah boss. Itu ini lambat katanya. Aku angguk. Memang aku siput. Siput yang merangkak-rangkak seperti aku sesekali perlu dihambat dengan kata-kata tegas.
Lepas proses basuh membasuh itu, aku keluar dari pejabat untuk tenangkan fikiran. Kepala rasa senak. Sedikit tertekan. Aku tahu aku kena kuat. Kemarahan itu untuk kebaikan walaupun aku tahu ianya sedikit sebanyak disebabkan oleh keadaan kesihatan yang tak mengizinkan.
Siput itu rudy. Rudy itu siput. Aku teringin menjadi seperti Rudy yang dahulu. Perlahan-lahan aku mengengsot ke arah itu. Moga-moga Tuhan beri aku kekuatan untuk kembali menjadi Rudy yang dahulu. Aku ini hamba. KudratNya sahaja yang aku minta pinjamkan untuk meneruskan hidup.
Ya Rabb, bantulah aku yang siput ini.
March 7th, 2007
Terlajak perahu boleh diundur. Tapi kalau terlajak kata memang sangat buruk padahnya. Apatahlagi pada zaman teknologi hari ini , semua pertuturan kita boleh dirakam. Baik suara mahupun wajah yang menuturkan kata-kata.
Akhirnya, bila sudah kena “gam”, dan arahan program wajib dihentikan, mulalah menggelabah. Maka bersyukurlah kepada mereka yang tidak menghalalkan perkara tersebut terjadi. Terima Kasih kepada Pak Menteri yang memahami sensitiviti.
March 5th, 2007
Kalau benar kau sudah terlanjur, sampai terbonjol perut terisi seorang manusia di luar halal pernikahan. Jangan kau bunuh. Jangan kau buang di longkang, tandas dan segala tempat yang kau rasakan orang tidak nampak.
Tetapi, berikan sahaja kepada aku. Aku rela membelanya. Biar aku yang menggalas bebannya. Anak itu tidak bersalah. Kau yang bersalah dihenjut nafsu iblis.
Aku cabar! Aku cabar kau!