March 19th, 2007
Janganlah tersilap sebut perkataan “mandi”, memang terus dia bingkas bangun dan buka baju ke bilik mandi. Dari kecil sampai besar umur dua tahun, si cilik ini sangat suka dengan air. Pantang nampak air, mesti nak mandi. Kalau sudah masuk bilik mandi, berjam-jamlah nampaknya aku kena melayan dia mandi. Ada sekali, dia mandi bersama dengan Suri. Bila Suri sudah selesai, dia masih tidak habis mandi lagi. Meraung-raung bila ditarik keluar. Akhirnya baton touch kepada aku. Aku pula sambung mandi dengan dia. Aku habis mandi, dia masih leka main air dari paip getah atau pancuran mandi. Bila aku angkat, meraung-raung sampai bergegar bilik mandi. Baton touch pula kepada adik ipar aku mandi sama dengan dia. Itupun dia tidak puas juga. Bayangkan? Akhirnya, aku angkat dia keluar dengan paksa.
Tapi, sejak akhir-akhir ini dia mula leka dengan permainan komputer. Ini mamanyalah yang ajar. Sampai naik lenguh aku kena layan dia depan komputer. Permainan yang dia suka ialah Game House: Varmintz. Permainan si musang yang mencuri telur. Kalau celik mata sahaja dia cakap “nak telur”. Maka, aku kena segera buka komputer sebelum perang suara rengek dia menggegarkan blok kediaman.
Bayangkanlah, daripada seorang yang tidak suka permainan komputer, aku jadi leka dengan benda itu hingga aku jadi terror mengalahkan Suri dan adik ipar aku dalam ranking permainan komputer di rumah.  Ha! Ha! Ha!
(Jangan dia minta Playstation 3 sudah!)
March 16th, 2007
Umur baru dua tahun sebulan. Tetapi, pelatnya tiada. Sudah boleh bina 4 ayat. Alhamdulillah, dikurniakan sicilik yang cepat menangkap pengajaran. Kadang-kadang teruja bila pulang dari bekerja. Pasti ada perkataan baru yang dipelajarinya tidak kira daripada mamanya ataupun pengasuhnya.
Paling seronok bila dia boleh sebut nama kita dengan penuh. ‘Papa saya (nama aku)”, Mama saya (nama isteri aku)”, Nama saya (nama dia)”, “Mama saya cikgu”. Tapi walaupun baru dua tahun, dia tidak mengaku umurnya dua tahun. Entah mengapa ayat “Umur saya tiga tahun” seringkali basah di bibirnya.(Baca: mungkin kawan-kawan sepengasuhnya ada yang berumur 3 tahun).
Walaupun sudah boleh meminta itu ini, ada juga insiden yang sukar untuk ditangani. Ada sekali dia tersilap sebut “baby” menjadi “babi”. Mula-mula aku ingat dia terikut-ikut kawan-kawan sepengasuhnya. Tetapi, rupa-rupanya dia tersilap. Cepat-cepat Suri perbetulkan ejaan. Kadangkala kita terlatah, terus cubit atau lempang pipi si mongel itu. Padahal, dia tersilap sebut.
Dalam rumah tangga, panggilan “Yang” di kalangan suami isteri adalah lumrah. Tapi, kami terkejut pada suatu hari, si mongel cilik ini memanggil aku “Yang, nak susu” (baca: oit! Naga, jangan fikir bukan-bukan). Terus aku ketawa berguling-guling dengan Suri. Moralnya, berhati-hatilah berkata-kata di depan sicilik. Peniru kental ini akan melihat apa di hadapannya untuk belajar.
Seronoknya ada anak, kalian bila lagi nak berumah-tangga?Â
March 14th, 2007
“Tapi saya tengok abang tidak macam dahulu. Terlalu komited dengan kerja. Belum jam 8 sudah ada di pejabat. Tapi sekarang ini, jam 8 masih tersekat di kesesakan lalu lintas. Abang ada masalah di jabatan baru? Kalau dulu, abang kena hentam dengan boss abang tetap gagah. Tapi kini, dalam entri siput, abang seperti terlalu lemah. Mana abang Rudy yang saya kenali dulu?”
Aku angguk tanda setuju. Aku akui keadaan itu. Ironisnya, aku tiada masalah di jabatan baru. Seronok bekerja walaupun tugas itu bagai rutin, sementelah pernah berada di jabatan yang sama pada tahun 2002 dahulu. Keadaan ini, mungkin ada hubungkait dengan keadaan kesihatan aku. Tapi, InsyaAllah aku cuba untuk berubah. Walaupun perlahan aku mesti berubah supaya aku dapat menikmati hidup segembira dahulu.
Terima Kasih Dik, Abang hargai teguran ini 