Archive for February, 2007

February 23rd, 2007

PEREMPUAN-PENUH-EMAS-DI-BADAN

Posted in bebas by Rudy

Lebih menarik lagi, kajian yang sama juga menunjukkan, indeks budi bahasa rakyat negara ini adalah 7.2 daripada skala tertinggi 10. Kata Pak Lah dalam akhbar hujung minggu.

Aku rasa mahu muntah bila baca kata-kata Pak Lah. Mungkin kes yang aku hadapi ini berkadar satu per seribu. Tapi, beginilah nasib. Bila kenderaan yang aku pandu diterjah dari belakang tanpa disangka-sangka. Bergegar satu kereta.

Ceritanya aku dalam perjalanan ke Kota Bharu. Semasa di Ketereh, kenderaan banyak. Aku berhenti secara selesa di belakang deretan kereta yang memanjang. Sempat aku “free”kan “gear” dan tarik brek tangan. [baca: Aku tidak brek mengejut] Tiba-tiba, Dum! Aku pandang belakang. DAG 289 sejenis “binatang” wira berwarna merah maroon remuk di bahagian hadapan hasil momentum ciuman belakang kereta aku!

   

Aku segera pandu kereta ke bahu jalan. Keluar dan melihat bumper yang terperosok ke dalam dan bonet belakang kereta yang tidak boleh dibuka. Pemandu perempuan yang bersalah itu hanya membatukan diri. Kemudian dia keluar dari kereta tanpa seberang reaksi. Aku lihat dia; perempuan-penuh–emas-di-badan hanya berdiri diam. Aku senyap sahaja. Malas nak bertekak. Suri pula sudah marah-marah. Sabar. Sabar. Aku kata.


   

15 minit kemudian, datang suami perempuan-penuh–emas-di-badan. Dia tidak mahu selesai kes dengan bayar sahaja kerosakan kami. Nampak sangat dia ego. Dia agak kami orang luar. Biasalah, sentimen ini akan dirasai, lagi-lagi plat kereta kami bukan bermula dengan huruf D. Aku pun berbahasa luar. Suri pun marah-marah dengan bahasa luar. Terlupa agaknya mahu guna dialek sendiri bila hati diamuk marah.

Pak Mertua aku datang juga akhirnya. Pak Mertua berbincang guna bahasa daerah.  Dia tetap berkeras tidak mahu bayar. Kami ambil kata putus, biarlah selesai di Balai polis. InsyaAllah, jika diizinkan Tuhan, dapatlah claim dari insuran kereta milik mereka. [Sehingga entri ini ditulis, mereka masih belum buat laporan Polis lagi, nasiblah kalau Polis datang tangkap engkau!]


Aku tidak sedih kereta aku sompek diterjah Wira. Tetapi aku sedih orang Melayu sudah lupa budi bahasa. Sekelumit maaf pun tidak terluah daripada mulut perempuan-penuh–emas-di-badan itu. Kalau tidak kasihankan kami, kasihan kepada Putera Cilik aku yang menangis dek terhantuk kerusi semasa pelanggaran berlaku. Bersungguh-sungguh suri dan aku memujuk, supaya dia berhenti menangis!

Alhamdulillah, Allah tolong gerakkan tangan aku untuk tarik brek tangan dan free kan gear. [baca: Kita tiada kudrat sebenarnya]. Mujur kereta aku tidak terdorong mencium kereta hadapan. Dan yang paling penting, anak, isteri dan adik ipar aku tidak cedera.

“Menyesal pun tak guna dik, dah jadi sebahagian statistik”, Kata Sarjan Rosli yang mengambil statement aku. Aku senyum kelat.

February 22nd, 2007

SUMPAH

Posted in bebas by Rudy

“Abang bersumpah dengan nama Allah! Kalau Rudy tidak mahu mengeluarkan diri Rudy sendiri dari kepompong bisikan si bathil itu, maka tiada kesembuhan untuk Rudy! Berjumpalah seratus bomoh sekalipun selepas ini.”, Abang Z.

Aku diam. Angguk. Tersipu malu. Aku terlalu melayan bisikan syaitan. Masih kurang yakin dengan Dia yang Hak. Betapa lemahnya aku.

Tuhan, tunjukkan jalan. 

February 16th, 2007

DIA II

Posted in bebas by Rudy

(Dedikasi buat Myas)

Pendebat ini aku ikuti sejak penyertaan sulungnya dalam pertandingan debat peringkat dalaman. Dua kali aku menjadi hakim kumpulannya. Kepetahannya mengemukakan hujah, mencelah dan mematahkan hujah lawan amat aku kagumi. Meskipun kumpulannya tidak memenangi sebarang hadiah diakhir pertandingan, sekurang-kurangnya dia dinobatkan sebagai pendebat terbaik keseluruhan pertandingan. Aku mengikuti perkembangannya sedikit demi sedikit dari jauh. Bermula dengan Debat dalaman hinggalah ke peringkat kebangsaan!

Beberapa kali aku teruja dengan bicaranya. Pernah sekali aku bertanya, dari mana kekuatan yang dia dapat untuk lantang berdebat sebegitu. Jawabnya, nantilah dia akan bercerita kemudian. Katanya lagi, dia bermula dengan kisah sedih hidupnya. Aku terdiam. Tidak terkata apa-apa. Jawapannya begitu spontan. Malah, aku tidak tahu mengapa dengan aku dia boleh mahu menceritakannya pula. Aku beri peluang untuk dia mencari masa. Biar dia bersedia dan aku tidak akan bertanya lagi, walaupun rasa ingin tahu meluap-luap di dada.

Suatu hari, kami ditakdirkan bersua. Sepetang itu dia menceritakan segala-galanya. Bagaimana dia mendapat kekuatan untuk berdebat sekaligus melupakan kesengsaraan hidupnya. Selama hampir dua jam itu aku banyak membisu. Hati jadi begitu sebak. Hampir-hampir menitiskan air mata. Aku minta kebenaran daripadanya untuk menulis kembali kisah hidupnya. Untuk dijadikan azimat kepada remaja di luar sana. Mahu dengar ceritanya?

“Saya anak bekas banduan!”, tegasnya memberitahu aku petang itu. Aku terpempan. Sungguh! Aku sendiri tidak menyangka perkataan itu keluar terpacul dari mulutnya.

Dia lahir sebagai anak kedua tetapi sulung lelaki di mata keluarga. Dia bukan dari keluarga yang bahagia. Ayahnya seorang bekas banduan yang disabitkan kesalahan berat salah guna senjata api. Nyaris-nyaris ke tali gantung kalau tidak kerana kecekapan peguam yang mewakilinya.

Selama tiga tahun sejak tingkatan 3 dia tidak berbapa. Ibu mengambil alih beban galas mencari sesuap nasi keluarga. Ayah di penjara menunggu hukuman dijatuhkan. Turun naik mahkamah memang menyeksakan, katanya. Sekelip mata 3 tahun berlalu hinggalah hari dijatuhkan hukuman. Ayahnya dijatuhkan3 tahun penjara dengan 6 sebatan. Oleh kerana ayahnya telah dipenjarakan selama 3 tahun sementara menanti mahkamah selesai bersidang, maka hukuman penjara terhapus.Tetapi enam sebatan itu wajib diterima.

Dialah yang dipertanggungjawabkan untuk membawa ayahnya pulang seusai enam sebatan dijalankan. Sepanjang perjalanan, ayahnya tertiarap mengerang kesakitan dalam kenderaan. Dia berharap ayahnya insaf selepas enam sebatan itu, tetapi, rupa-rupanya tidak. Dialah anak yang meletakkan ubat luka atas biratan sebatan dipunggung ayahnya. Berbulan-bulan sehingga luka sebatan itu kering dan tumbuh kulit baharu.

Hidup sebagai anak banduan memungkinkan kehidupannya mengalami kesukaran. Siapa tahan kalau dipulaukan rakan-rakan sekolah. Itu belum lagi diejek dan dinista rakan sekuliah. Tertekan dengan itu, dia nekad berhenti sekolah. Untuk apa ke sekolah kalau hanya untuk dipulau dan diejek rakan sekuliah. Tetapi hasratnya tidak kesampaian. Pengetua dan Kaunselor tidak merelakan. Kata Kaunselornya, ambil sahaja cuti semahunya. Hinggalah dia benar-benar boleh menumpukan perhatian semula kepada pelajaran. Maka, sepanjang tingkatan 4 hidupnya hanyalah di rumah dan berpeleseran dengan kawan-kawan yang akhirnya menjahanamkan hidupnya.

Benarlah kata orang, salah memilih sahabat boleh menyebabkan kita menjadi jahat. Lagi-lagi dengan tekanan hidup dengan keluarga yang sebegitu. Bermulalah kehidupannya dengan berpeleseran setiap hari. Selagi embun tidak menitis, selagi itu dunianya dipenuhi dengan rakan-rakan yang kononnya memahami! Arak diteguk semahunya. Ganja dan ekstasi menjadi makanan harian. Seks bebas? Argh, aku tidak mahu menceritakannya. Sungguh! Aku gerun dengan pengalaman hidupnya!

Dia menceritakan kepada aku satu persatu secara terperinci bagaimana dia meneguk arak itu berjag-jag bagai minum air lagaknya! Ganja yang dihisap bagai memberikan dirinya sayap untuk terbang dari satu awan ke awan. Menari dengan ekstasi sudah menjalar dalam pembuluh darah amat menyeronokkan. Segala masalah hilang dan dia terperangkap dalam syurga buatan, tanpa sedar ia merosakkan!

Hinggalah suatu hari, ketika pulang dengan kepala pusing penangan ekstasi arak dan ganja. Merangkak dia ke pintu rumah. Ketuk dan tendangnya sekuat hati mengejutkan ibu di rumah. Ibu mana yang tidak sedih melihat anak harapan jadi begitu. Bebelan ibu di pintu rumah pada dinihari itu, dirasakannya nagai api yang membakar telinga. Kewarasan diri sudah tiada. Terjadilah insiden yang tidak disangka-sangka. Sang ibu yang tidak bersalah dipukul dan ditendang dia. Jatuhlah ibu tanpa diduga. Tangis ibu melata sambil menggoncang-goncang tubuh badannya. Apakah anak yang dikandung ini akan berkesudahan menjadi sampah bangsa!

Seminggu dia dikurung dalam bilik oleh ibunya. Menjerit-jeritlah dia minta dilepaskan. Pintu ditendang tetapi sekuat manalah kudratnya yang diamuk resah ketagihan arak dan ganja? Hanya pada waktu makan, ibunya menyua nasi dan lauk. Katanya, dia bagai kucing peliharaan yang terkurung dalam sangkar dengan makan disua!

Akhirnya, berkat doa ibu. Kekesalan tumbuh menyelubungi diri. Demi ibu yang disayangi, dia nekad berubah. Tahun berikutnya, dia menyambung persekolahan di tingkatan lima.

Biarpun kehidupa sekolah bagaikan neraka. Dia buat endah tak endah sahaja. Selama beberapa bulan itu dia berhempas pulas menghadapi peperiksaan SPM. Alhamdulillah, kejayaan menjadi miliknya. Pada masa inilah dia berminat dengan pidato dan debat. Mewakili sekolah kemudian daerah dan akhirnya peringkat negeri. Kalau dengar namanya bertanding, kecut pendebat dan pemidato lainnya. Entah mengapa, betapa adilnya Tuhan, setiap kali pertandingan, kejayaan sentiasa menjadi miliknya. Pernah sekali ketika diminta berucap selepas memenangi pertandingan pidato peringkat negeri, dia ditanya pengerusi majlis. Untuk siapa kemenangan tersebut.

Dia spontan menjawab; untuk ibu yang sentiasa mendoakannya. Juga untuk ayah yang telah menjadi sebab kelahirannya. Ibu dan ayah di kerusi hadirin menitis air mata! Apatahlagi si ayah bagaikan baharu sahaja tersedar dari mimpi lantas mengakui kesilapan diri.

Hasrat ke universiti jelas tertanam dalam diri. Tiada lagi dia menoleh ke belakang lagi. Kali ini STPM pula jadi taruhan. Moga-moga ada rezeki untuk bergelar pendidik satu hari nanti. Alhamdulillah, usaha tanpa jemu membuahkan hasil untuk diri. Siapa tidak bangga, anak yang pernah menjadi sebutan guru-guru sekolahnya bakal menjadi sampah masyarakat menjadi pelajar terbaik STPM sekolahnya. Universiti dipilih dan pilihannya tepat ke riba!

Alhamdulillah, pada hari ini ketika aku berbual dengannya, dia sudah berada di semester kedua pengajiannya. Seorang remaja yang sedang merangkak ke alam dewasa. Perjalanan hidupnya pernah hitam. Itu mematangkan, jelasnya. InsyaAllah, jika dia terus beristiqamah selama 3 tahun lagi, aku pasti skrol ijazah pendidikan akan tergenggam di tangan! Itu janjinya kepada ibu tercinta. Biarlah ayah dengan dunianya.

Usai dia bercerita. Aku lihat ada titis jernih di matanya. Aku ikut sebak. Cerita begini bukan ilusi sifatnya. Selalu sahaja kita baca di media, tetapi pengalaman mendengar sendiri cerita ini dari mulut mereka yang mengalaminya merupakan bonus yang tidak disangka-sangka. Sesukar aku diduga Tuhan dengan sakit yang ada, hebat lagi derita yang dia rasa.

Moga-moga Tuhan pelihara dia.