TOLONG BERSEBAB
Kantung es-em-esku ditebak lagi.
“Assalamualaikum Rudy, Atok M ni! Ko jaga bahagian apa? Tak ada ke kerja-kerja mencuci bangunan dan kawasan? Atok M ada lesen Kementerian Kewangan. Tolong le. Orang lain dah kaya ada saudara tolong. Saudara kita mana ada yang boleh diharap! Ko le yang ada power sikit. Tolong usahakan. Tq.”
Aku senyum-senyum.
Oh, dahulu masa keluarga aku susah. Masa aku dan adik-beradik minta belas untuk biaya sekolah, tiada siapa yang mahu tolong. Mak sanggup bersengkang mata setiap malam membuat kuih-muih dan nasi lemak untuk menampung belanja sekolah kami. Seawal jam 6.30 pagi aku sudah berkayuh basikal hantar kuih-muih dan nasi lemak itu ke kedai makan di simpang jalan kampung.
Lagi. Ketika aku mahu sambung belajar ke Jepun. Tiada seorangpun saudara mara aku mahu jadi penjamin. Aku melutut mohon belas termasuk kepada engkau sendiri; Atuk M. Semuanya takut aku tidak mampu bayar semula wang biasiswa, sedangkan biasiswa aku itu tidak perlu dibayar balik. Tapi, tiada siapa percaya. Dan akhirnya, seorang guru yang tiada pertalian darah denganku itulah yang menjadi penjamin aku. (Aku kenang budimu Cikgu Zainal sampai mati!)
Setelah aku berjaya. Setelah adik-adik semua berjaya dalam hidup, mengapa kau mula terhegeh-hegeh meminta bantuan aku yang tak pernah kau hiraukan suatu waktu dulu. Apakah kerana kami tak punya apa-apa dan kuasa pada masa itu?
Sungguh. Sungguh dunia sudah terbalik!

