DIA
Â

Setahun yang lepas penuh ranjau. Hidup berjauhan dan inilah harga yang perlu dibayar oleh DIA demi masa depan kerjayanya. Alhamdulillah, 2007 mereka hidup sebumbung kembali.
Rutin kerjaya DIA agak lewat bermula. Jam 11 pagi baru bertolak ke kantor. Seawal pagi sempat menyiapkan sarapan pagi untuk lelaki yang dikahwininya. Kemudian, sempat membasuh pakaian dan memasak untuk sicilik dan lelaki yang dikahwininya. Tengahari biasanya, sang lelaki yang dikahwininya, melepas lelah di rumah dan lauk air tangannya menanti, walaupun tanpa permintaan.
Seiring berpergian ke kantor sempat DIA menghantar sicilik ke rumah pengasuh. Lelaki yang dikahwininya akan mengambil alih tugas DIA untuk mengambil sicilik sekitar jam lima setengah petang. Itupun menjadi rungutan sang lelaki. Meskipun hanya beberapa jam sicilik dijaga lelaki yang dikahwininya, sehingga DIA menjengah pintu rumah. DIA akan pulang seawal jam lapan suku malam dek mengharung kepayahan kesesakan lalu lintas sejurus keluar dari kantornya pada jam tujuh malam.
Sesampai di rumah, kerja berikutnya menanti. Maka sempatlah DIA menggodek sudip dan kuali untuk hidangan malam sekeluarga. Jam dua belas belum tentu tidur lagi. Kerja-kerja kantor dalam lapangan pendidikan kadang kala perlu disudahkan di rumah. Ringkasan Mengajar perlu ditulis tangan dan adakalanya menanda buku-buku kerja anak sekolah didikannya. Pendidik baharu sepertinya selalu dibebani kerja luar. Pelbagai Jawatankuasa yang perlu dianggotai dengan jawatan yang bukan mudah dipikul.
Begitulah rutin DIA hampir sebulan ini. Seringkali terdetik di hati lelaki yang dikahwininya, apakah tiada istilah penat dan bosan untuk rutin yang sebegitu?
Ya, inilah wanita yang Tuhan anugerahkan kepada lelaki yang dikahwininya. Betapa perkasanya DIA di mata lelaki yang dikahwininya. DIAlah Wanita Besi yang menjadi teman hidup lelaki yang dikahwininya.
DIA ialah Suriku. Suri yang aku nikahi dan ibu kepada zuriat penyambung warisan keluarga kami. Tulisan ini tribulasi buatmu Suri.
Terima Kasih Suri. Pengorbananmu kusanjung tinggi.
[Suri, jangan paksa diri. Lelaki yang kau kahwini ini akan cuba mengerti kepayahanmu. Perkahwinan adalah perkongsian. Bukannya satu perhambaan.]Â

