July 3rd, 2009
終わらない夢の中で、ずっと君を抱きしめたい。
Ada sesetangah perkara dalam hidup ini, kita impikan ianya berlaku hanya dalam mimpi sahaja. Biar ia terus dalam mimpi dan tidak menjadi realiti. Ya, adakalanya kita mahu memeluk dirinya, tetapi hanya dalam mimpi yang tidak akan berakhir.
Ironi sekali itu tidak akan berlaku. Hidup kita menginjak realiti. Tiada hidup dalam mimpi.
July 2nd, 2009
Perbualan aku dengan Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Perhubungan Alumni Universiti Malaya dua minggu lepas memang berbaloi. Ada beberapa gesaan yang aku buat. Bertahun-tahun lamanya ia tergantung begitu sahaja. Pernah satu ketika aku mahu mendaftar menjadi alumni UM. Ketika itu jawapan mereka amat melukakan. Kata mereka, hanya mereka yang lulus di peringkat ijazah dan ijazah tinggi sahaja diiktiraf sebagai alumni UM.
Aku mengaji di UM cuma 2 tahun. Diperingkat sijil khas pengajian ke Jepun, sebelum terbang ke bumi Shinto menyambung ijazah pertama. Mahu mengaku alumni tidak diterima. Sudahnya kami bergerak sebagai Alumni Look East Policy (ALEPS) sahaja. Menjadi sebahagian alumni universiti perdana itu amat membanggakan. Email yang aku terima petang semalam akhirnya memuncakkan rasa itu.
“Semua lulusan UM yang mengikuti kursus sijil, diploma dan degree paling kurang 1 semester adalah automatik alumni UM termasuk pelajar lepasan Pusat Asasi Sains (termasuk Asasi Sains Jepun), UMCCed dan INPUMA.”
Alhamdulillah! Justeru, kepada kalian sahabat-sahabat alumni UM, pada 11 Julai 2009 (Sabtu), satu majlis penubuhan alumni UM Chapter WP & Selangor akan diadakan di Institut Asia Eropah Universiti Malaya pada jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang. Kalian dijemput hadir dan jamuan makan pagi dan merarau disediakan.
Sila hubungi;
Puan Wan Mazni Wan Mohd. Woojdy
Penolong Pendaftar Kanan
Pejabat Perhubungan Alumni
Bahagian hal Ehwal Pelajar
Universiti Malaya
tel: 03-7960 7470
fax: 03-7960 5169
email: wanmazni[at]um[dot]edu[dot]my
June 25th, 2009
Aku ke Hospital Serdang atas sedikit urusan semalam. Kalut agaknya kerana seharian itu aku terlalu sibuk dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan. Hinggalah aku terperasan yang N95 aku sudah tiada dalam genggaman tangan.
Tangan menjadi sejuk. Serasa ais sudah membekukan diri. Kalau hilang habislah. Bukan kerana N95 itu, tetapi kerana nombor-nombor penting dan maklumat yang tersimpan di dalamnya adalah berkaitan dengan kerja. Aku cuba dial nombor aku. Panggilan pertama tidak berjawab. Alamak hati sudah tidak keruan. Kemudian, dengan bismillah aku dial kali kedua. Kedengaran suara wanita di hujung talian. Alhamdulillah! Besarnya kalimah Allah, sehingga aku lupa dek panik berterusan.
Segera aku ke kaunter jabatannya. Dia kata ada pesakit terjumpa telefon itu di kaunter di hadapannya. Lalu menyerahkan kepadanya. Syukur kepada Tuhan. Aku ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pesakit yang aku sendiri tidak tahu siapa dia dan kepada Cik Sharifah Noor Faslina, Jabatan Farmasi Hospital Serdang, atas kejujuran yang ditunjukkan. Kalaulah semua manusia sebaik mereka, alangkah aman dan indahnya bumi Tuhan ini. Hanya Allah yang dapat membalas segala budi baik mereka.
* Tulis surat penghargaan kepada Pengarah Hospital Serdang dan salinan kepada YB Menteri Kesihatan.